Sabah Lawan Sarawak, Peminat Diajak Ke Stadium Likas Malam Esok


PEMINAT DIAJAK KE STADIUM LIKAS SOKONG TAMBADAU SABAH MALAM ESOK

KOTA KINABALU: Peminat sukan bola sepak tempatan diajak datang memberi sokongan mantap kepada pasukan Tambadau Sabah menentang  Sarawak di Stadium Likas malam esok.

Perlawanan dengan pasukan negeri jiran ini merupakan kedua terakhir di gelanggang sendiri dalam aksi Liga Premier Malaysia 2019.

Selepas malam esok Tambadau Sabah mempunyai baki empat lagi perlawanan sebelum menamatkan perjuangan musim ini.

Pemangku Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) Datuk Peter Anthony berkata Tambadau sekarang berada dalam keadaan terbaik untuk mengakhiri kemarau gelaran selama 23 tahun.

Kali terakhir Sabah bergelar juara liga bola sepak utama negara ialah pada tahun 1996.

“Saya tahu ada keputusan tidak popular  pengurusan baharu sebelum ini tetapi disebalik semua itu saya yakin tujuan kita semua sama dan cuma satu iaitu untuk melihat bola sepak Sabah yang sekian lama tenggelam kembali gemilang.

“Kita sudah hampir tetapi belum mencapainya. Oleh itu saya mengajak penyokong setia Tambadau mantapkan lagi sokongan bermula malam esok bagi membantu menyemarakkan semangat pasukan mengharungi perlawanan yang semakin genting,” kata Peter ketika dihubungi di sini hari ini.

Katanya kemenangan boleh membantu Tambadau bukan sahaja terus menghampiri sasaran ke Liga Super tetapi mengukuhkan kedudukan sebagai calon utama menjulang gelaran juara Liga Premier musim ini.

“Sebelum ini ramai yang mengadu malas ke stadium kerana prestasi hambar pasukan tetapi musim ini kami telah berusaha mengubahnya dan hari ini Tambadau sudah di persada liga.

“Kami akan terus berusaha memantapkan pasukan tetapi adalah lebih indah jika kita dapat bersama-sama berkongsi usaha itu dengan kapasiti masing-masing. Penyokong boleh membantu dengan menjadi pemain ke-12 pasukan

Dalam pada itu Peter yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah gembira dengan persiapan dan perkembangan prestasi pasukan.

“Saya melihat kesungguhan semua anggota pasukan, pegawai, jurulatih dan pemain dalam latihan.

“Saya berharap kesungguhan itu akan dapat kita sama-sama saksikan juga semasa perlawanan esok,” katanya.

Beliau berkata walaupun ia adalah pertemuan antara pasukan teratas dan tercorot, sejarah menunjukkan pertembungan antara dua pasukan Borneo itu sentiasa sengit dan menarik.

“Saya percaya malam esok juga menjanjikan pertarungan sengit. Saya harap pemain kekal fokus dan main habis-habisan untuk dapatkan kemenangan dan keluar sebagai pasukan terbaik Borneo,” katanya.

Sabah menewaskan Sarawak 2-1 dalam pusingan pertama di Kuching.

Tambadau kini di tangga teratas dengan 31 mata tetapi kedudukan itu mungkin berubah kerana dua pasukan di bawah yang boleh memintas iaitu JDT II dan UiTM FC saling bertembung malam ini.

Sarawak pula di kedudukan tercorot dikalangan 11 pasukan dengan 10 mata.

Sambil itu, ketua jurulatih, Jelius Ating dijangka tidak membuat perubahan ketara dalam kesebelasannya. –SabahNewsToday

Comments