
Jabatan Negara AS menganggarkan, syarat menyenaraikan akaun media sosial akan menjejaskan 710,000 pemohon visa pendatang dan 14 juta pemohon visa bukan pendatang setiap tahun. -Foto Agensi
WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) kini meminta semua pemohon visa ke negaranya mengemukakan maklumat akaun media sosial dalam meningkatkan pemeriksaan keselamatan calon pendatang dan pelawat.
Laporan Xinhua menyebut, maklumat tambahan untuk penelitian latar belakang termasuk kata nama media sosial, alamat e-mel dan nombor telefon digunakan dalam tempoh lima tahun lalu.
Pemohon visa juga perlu melaporkan status perjalanan dan pengusiran antarabangsa dalam tempoh sama serta jika ada anggota keluarga mereka terbabit dalam aktiviti keganasan.
“Keselamatan negara menjadi keutamaan kami apabila menguruskan permohonan visa dan setiap bakal pelawat dan pendatang ke AS perlu menjalani pemeriksaan keselamatan menyeluruh.
“Kami kini berusaha mencari mekanisme untuk memperbaiki proses pemeriksaan bagi melindungi rakyat AS sambil menyokong lawatan sah ke Amerika,” kata Jabatan Negara.
Dasar visa baharu itu, kali pertama dicadangkan pada Mac 2018, berkuat kuasa selepas kelulusan borang permohonan dikemas kini. Satu-satunya pengecualian adalah untuk pemohon diplomatik dan rasmi tertentu.
Dasar itu terpakai untuk semua pemohon visa pendatang dan bukan pendatang termasuk tujuan perniagaan atau pendidikan.
Jabatan Negara AS menganggarkan, ia akan menjejaskan 710,000 pemohon visa pendatang dan 14 juta pemohon visa bukan pendatang setiap tahun.
Langkah sama pada masa lalu hanya menyasar kira-kira 65,000 pemohon dikategorikan ke dalam pemeriksaan tambahan setiap tahun seperti mereka yang ada sejarah berkunjung ke negara dikawal pengganas.
Jabatan Negara berkata, senarai media sosial terdiri daripada 20 platform iaitu ASKfm, Douban, Facebook, Flickr, Google+, Instagram, LinkedIn, MySpace, Pinterest, QZone, Reddit, Sina Weibo, Tencent Weibo, Tumblr, Twitter, Twoo, Vine, Vkontakte, YouKu dan YouTube, mungkin bertambah di masa akan datang. -Agensi
Comments
Post a Comment