Thomas, Zuzana Janoveova juga berasal dari Republik Czech
KUCHING: Kepelbagaian budaya dan tradisi di Sarawak membuatkan pelancong dari luar negara berasa kagum dengan Sarawak.
Thomas Kotyk dari negara Republik Czech tertarik dengan budaya dan tradisi etnik di Sarawak. Thomas berkata, gabungan budaya tradisional dan budaya moden menyebabkan Sarawak unik.
Menurut Thomas, tarian dan nyanyian etnik Dayak dan Orang Ulu cukup menghiburkan.
“Rakyat Sarawak harus bangga dengan budaya dan tradisi mereka sendiri.
“Budaya dan tradisi Sarawak harus dikekalkan agar tidak hanyut ditelan arus permodenan,” ujarnya.
Thomas berkata demikian ketika ditemui Suara Sarawak di Tebingan Kuching.
Pasangan Thomas, Zuzana Janoveova juga berasal dari Republik Czech senada dengan pandangan Thomas.
Menurut Zuzana, anak-anak muda Sarawak seperti diajar untuk tidak melupakan tradisi dan budaya mereka.
Bagi Zuzana, ia merupakan langkah yang baik kerana jika bukan golongan muda, siapa lagi yang mahu meneruskan tradisi mereka.
“Saya terpesona melihat anak muda mengenakan pakaian tradisional kaum asal Sarawak dan harap ia akan diteruskan pada generasi akan datang,” katanya ketika menyaksikan persembahan pelajar Sekolah Seni Malaysia Sarawak.
Robin Teadsil dan Daisy Teadsil
Daisy Teadsil dan ayahnya Robin Teadsil dari London, England berasa gembira menonton persembahan kebudayaan di Godown Amohiteathter, tebingan Kuching.
Kata Daisy, persembahan kebudayaan oleh pelajar Sekolah Seni Malaysia Sarawak menceriakan dirinya kerana dapat melihat warga Kuching yang berbilang bangsa berkumpul pada malam tersebut.
Tambah Daisy, dia suka dengan gabungan muzik tradisional Sape dan muzik moden yang dipersembahkan.
Menurut Robin Teadsil, dia merasa sangat beruntung untuk menjejak kaki ke Sarawak kerana dapat melihat dengan mata sendiri kebudayaan Sarawak. Jelas Robin, selain kepelbagaian budaya, warga Kuching tidak lokek dengan senyuman dan begitu peramah.
Kim Chaumette dan Clemence Reine
“Ternyata orang di Kuching adalah orang yang baik, banyak budaya yang menarik dan makanan di sini sedap,” katanya.
Dua orang sahabat dari Perancis Kim Chaumette dan Clemence Reine yang kali pertama datang ke Sarawak berkata mereka sangat gembira berada di Sarawak.
Menurut Kim, persekitaran di Kuching amat mendamaikan dan cantik pada waktu malam.
Tambah Kim, selama empat hari di Sarawak, banyak perkara yang dia ketahui seperti budaya, tradisi dan etnik.
“Saya sangat sukakan persembahan kebudayaan yang dipersembahkan malam ini, lebih-lebih lagi muzik tradisional,” jelasnya.
Clemence pula berkata, warga Sarawak yang ramah tamah membuatkan dirinya seperti bukan orang asing. Menurut Clemence, mereka sentiasa memberikan senyuman sepanjang beliau berada di Sarawak.
“Saya akan mengesyorkan Sarawak sebagai destinasi yang harus dikunjungi kepada rakan saya apabila pulang ke Perancis nanti,” ujarnya.
Comments
Post a Comment