Masalah dalam badan pemikir Sabah bukti Shafie lemah, kata Jeffrey


Pemimpin pembangkang Sabah, Jeffrey Kitingan.


KENINGAU: Pemimpin pembangkang Jeffrey Kitingan berkata, Ketua Menteri Sabah, Shafie Apdal dilihat lemah kerana cuba mengambil hati kedua-dua belah pihak dalam kemelut Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS).

Beliau juga berkata, wujud masalah komunikasi antara kerajaan negeri dengan badan pemikirnya sendiri.

Jeffrey memberi komen terhadap pengumuman oleh Pengerusi IDS, Simon Sipaun bahawa Johan Ariffin Samad bukan lagi ketua pegawai eksekutif (CEO) institut berkenaan, sedangkan ia sepatutnya dibuat oleh Shafie.

Jeffrey, yang membantu menubuhkan IDS semasa kerajaan Parti Bersatu Sabah (PBS) dan merupakan CEOnya yang pertama berkata, IDS dibentuk bagi membantu ketua menteri dan menasihatinya berkaitan isu yang relevan dengan tugas IDS.

“Sepatutnya pengumuman bahawa Johan bukan lagi CEO dibuat oleh ketua menteri, bukan pengerusi IDS. Walaupun sekiranya keputusan dibuat oleh IDS, pengerusinya perlu berjumpa ketua menteri dan bincangkan perkara itu.

“Tentulah ketua menteri perlu merujuk kepada pengerusi berhubung perkara tersebut, dan setelah itu membuat keputusan dan mengumumkannya kepada orang ramai,” kata presiden Parti Solidariti Tanah Airku itu.

Shafie berkata minggu lepas bahawa beliau akan berunding dengan Simon berhubung masalah dengan Johan, tetapi tidak memberitahu tarikh pertemuan itu akan dibuat.

Johan, yang diberitahu pada 29 Mei bahawa beliau tidak akan dikekalkan di jawatan itu berikutan tamatnya tempoh percubaan selama 6 bulan berjumpa Shafie pada 3 Jun.

Beliau diberitahu oleh Shafie supaya terus berada di situ kerana ketua menteri mahu mendengar penjelasan daripada kedua-dua pihak.

Bagaimanapun Sipaun berkata, keputusan menamatkan perkhidmatan Johan adalah muktamad kerana ia dibuat oleh lembaga pengarah IDS dan pendapat ketua menteri berhubung perkara itu adalah satu isu lain.

Jeffrey berkata, Shafie dan Simon perlu membuat pendirian yang sama dan keputusan akhir harus datang dari pejabat ketua menteri.

“Masalahnya, apabila anda mahu memuaskan hati semua orang, maka tiada keputusan boleh dibuat. Sama seperti sekarang Pemimpin yang kuat tahu ia mustahil, malah tidak bijak untuk cuba memuaskan hati semua orang.

“Perlu ada orang yang menunjukkan keazaman kuat kerana Sabah sangat memerlukan sebuah kerajaan yang stabil. Pada masa ini, kerajaan nampak goyah di banyak tempat,” katanya.

Comments