Sejak awal tahun 2000, Malaysia, melalui Rancangan Malaysia Kelapan (RMK-8), telah berusaha mengurangkan pergantungannya terhadap pekerja asing. Walaupun sukar, ia bukan sesuatu yang tidak dapat diatasi. Sejak RMK-11, usaha untuk menyelesaikan isu ini lebih jelas dan tertumpu. Ikhtiar ini telah menghasilkan penurunan dalam peratusan pekerja asing yang berdaftar daripada 16.1 peratus pada 2013 kepada 12.0 peratus daripada tenaga kerja pada 2017.
Pada masa hadapan, banyak lagi usaha yang boleh dilakukan untuk mencapai kemajuan yang dikehendaki. Matlamat akhir adalah untuk memastikan sistem pengurusan pekerja asing disampaikan dengan jelas, dilaksanakan dengan tegas dan lebih sejajar dengan matlamat ekonomi negara yang perlu dicapai.
Untuk tujuan ini, terdapat tiga perkara utama yang perlu dilakukan iaitu:
* Pertama: Perlu ada pendirian jelas mengenai peranan pekerja asing berkemahiran rendah dalam senario ekonomi Malaysia. Walaupun pekerja-pekerja ini akan terus memainkan peranan penting dalam menyokong ekonomi, perlu ada maklumat jelas tentang industri yang paling memerlukan pekerja asing dan cara terbaik untuk menyokong pertumbuhan produktiviti dan penaiktarafan industri. Ini termasuk garis masa jelas untuk perubahan dasar atau kemudahan untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai rangka kerja sedia ada.
Lebih penting lagi, dasar-dasar mengenai perkara ini perlu dilakukan selaras dengan inisiatif lain yang dilaksanakan oleh kerajaan, termasuklah pembangunan bakat, pembaharuan pasaran pekerja, atau penambahbaikan struktur insentif sedia ada untuk menarik pelaburan langsung asing (foreign direct investment, FDI).
* Kedua: Pelaksanaan dan perubahan dasar perlu dilakukan secara beransur-ansur dan dimaklumkan kepada industri dengan jelas. Walaupun pembaharuan terhadap dasar pekerja asing diperlukan untuk manfaat jangka panjang, tidak dinafikan hal ini akan menyebabkan pelarasan jangka pendek kepada ekonomi.
Akan timbul tentangan daripada industri dan lama-kelamaan, pengeluaran barangan dan perkhidmatan yang berintensifkan pekerja dan bernilai tambah rendah akan berpindah ke negara lain yang mempunyai pekerja ramai dan murah. Hal ini akan membolehkan sumber bakat dan fiskal yang diperlukan bebas untuk dialihkan ke industri lebih produktif dan kompleks. Pentingnya, keadaan ini akan membolehkan industri dan pekerja terjejas membuat persediaan untuk berhadapan dengan perubahan mendatang.
Ini mengurangkan risiko pembalikan dasar dan membantu pembuat dasar dalam menguruskan peralihan rumit ini.
Pembalikan dasar yang kerap telah merumitkan penguatkuasaan dan meningkatkan ketidakpastian perniagaan.
Satu contoh yang melibatkan beberapa perubahan peraturan dalam levi pekerja asing adalah dalam menentukan pihak mana yang harus menanggung kos, sama ada majikan atau pekerja itu sendiri. Sejak levi diperkenalkan pada 1992, Malaysia mengubah pendiriannya mengenai perkara ini sebanyak tiga kali, semuanya berlaku dalam tempoh 10 tahun lalu. Pengenaan semula levi ke atas majikan baru-baru ini melalui Aku Janji Majikan (berkuat kuasa 1 Januari 2018) adalah satu langkah wajar.
Tindakan ini sejajar dengan matlamat kerajaan untuk membangunkan kaedah lebih berkesan bagi menguruskan permintaan terhadap pekerja asing dan menggalakkan peningkatan produktiviti dalam kalangan firma. Levi yang dikenakan ke atas pekerja tidak menyumbang kepada hasil ini.
* Ketiga: Instrumen pengurusan permintaan sedia ada (seperti kuota, had maksimum pergantungan dan levi) boleh diubah menjadi lebih didorong oleh kuasa pasaran, sambil menggalakkan penjanaan hasil yang sejajar dengan matlamat ekonomi. Instrumen ini harus dapat mengesan masalah kekurangan pekerja dan kemahiran yang berasaskan bukti seperti yang terdapat di Australia dan Kanada yang bergantung pada gabungan metrik untuk memaklumkan usaha pengubahsuaian dasar imigresen mereka. Beberapa langkah berkaitan pekerja asing, seperti had maksimum kebergantungan sedia ada, telah dipersoalkan kerana tidak mengikut keperluan sebenar industri, tidak cukup ketat, atau sukar untuk dilaksanakan dan dikuatkuasakan.
Pembaharuan terhadap sistem levi sedia ada boleh membantu menyekat insentif operasi berkos rendah dan menggalakkan firma untuk mengurangkan pergantungan kepada pekerja asing dari semasa ke semasa.
Terdapat tiga cara untuk melakukannya iaitu:
* Pertama: Melibatkan pengurangan jurang upah sejam antara pekerja tempatan dengan pekerja asing, yang timbul daripada pengecualian berkanun.
Anggaran dalaman mengesyorkan bahawa kos purata menggaji pekerja asing bagi setiap jam adalah 30 peratus lebih rendah daripada pekerja tempatan.
Walaupun kos awalan (seperti pemeriksaan perubatan wajib, dan perjalanan) pengambilan pekerja asing mungkin kelihatan besar, mereka ini biasanya tertakluk pada waktu kerja lebih panjang dan mereka juga tidak menikmati faedah berkanun biasa (contohnya, sumbangan KWSP dan Perkeso oleh majikan) yang dinikmati pekerja tempatan.
Hasilnya, struktur kos yang lebih rendah meningkatkan daya tarikan majikan terhadap pekerja asing berbanding pekerja tempatan. Memasukkan kos berkanun dalam pengiraan levi akan membantu mengurangkan jurang ini ke arah nilai setara.
Tindakan ini kemudiannya boleh diikuti dengan menjadikan sistem levi lebih progresif, supaya industri atau firma yang lebih bergantung pada pekerja asing akan menghadapi jumlah kos levi lebih tinggi.
Pengiraannya boleh dibuat secara lebih terperinci, dengan mengambil kira kemungkinan automasi, pertumbuhan upah dan penambahbaikan produktiviti untuk setiap industri.
Pelaksanaan levi berbilang peringkat yang akan dilaksanakan pada 2019 merupakan perkembangan dialu-alukan kerana ini membolehkan mekanisme pencegahan yang boleh membezakan antara firma, berdasarkan profil tenaga kerja mereka. Sebagai amalan terbaik, levi dikutip perlu disalurkan semula kepada industri untuk menyokong usaha automasi.
* Kedua: Masih ada ruang untuk memastikan layanan terhadap pekerja asing yang lebih baik, sama ada penambahbaikan dalam keadaan pekerjaan atau memastikan mereka dibayar seperti dipersetujui. Keadaan pekerjaan dan tempat tinggal pekerja asing yang kurang menyenangkan dalam industri tertentu bukan sahaja membangkitkan kebimbangan terhadap kebajikan pekerja, malah suasana ini memberi gambaran budaya perniagaan yang tidak sihat oleh majikan tertentu yang tidak bertanggungjawab, untuk mengurangkan kos daya saing.
Terdapat usaha berterusan kerajaan untuk memperluas penguatkuasaan terhadap standard minimum perumahan dan kemudahan pekerja, daripada industri perlombongan dan perladangan kepada semua sektor berkaitan. Di samping itu, pengumuman Belanjawan 2018 untuk memastikan pembayaran gaji pekerja asing dilakukan melalui akaun bank akan memanfaatkan teknologi dengan lebih baik bagi mengelakkan majikan daripada menahan upah atau membuat potongan daripada gaji mereka secara tidak adil.
* Ketiga: Pembaharuan yang dicadangkan ini mestilah dilengkapi dengan pemantauan dan penguatkuasaan berkesan di tempat kerja, terutamanya berkaitan pekerja asing tanpa izin. Jika cabaran ini tidak ditangani dengan baik, sebarang usaha tambahan untuk memperketat dasar pekerja asing hanya akan menghukum majikan yang mematuhi undang-undang. Hal ini juga boleh meningkatkan risiko gejala rasuah dan majikan melanggar peraturan yang wujud dengan menggunakan kumpulan pekerja asing tanpa izin sedia ada.
Walaupun Malaysia jelas memperoleh manfaat daripada kehadiran pekerja asing pada masa lalu, peranan dimainkan oleh mereka dalam ekonomi negara perlu sejajar dengan keperluan semasa. Dasar pengurusan pekerja asing masa hadapan, jika tidak dirancang dengan baik dan tidak dilaksanakan dengan konsisten, hanya akan merencatkan kemajuan dicapai selama ini untuk mengurangkan pergantungan pada pekerja asing secara beransur-ansur.
Kebergantungan tinggi pada pekerja asing, jika dibiarkan tanpa sekatan akan melemahkan usaha ke arah automasi, menekan upah secara keseluruhan dan menghalang penerapan usaha meningkatkan produktiviti.
Keadaan ini juga akan menghalang pewujudan pekerjaan kemahiran tinggi dan mencorakkan reputasi yang tidak diingini terhadap Malaysia sebagai destinasi pelaburan berkemahiran rendah dan berintensifkan pekerja.
Apabila semua faktor ini diambil kira, negara akan terperangkap dalam kemelut upah dan produktiviti rendah. Kehadiran pekerja asing tanpa izin yang besar di Malaysia memburukkan lagi kos sosioekonomi.
Walaupun cabaran ini kelihatan agak sukar untuk diatasi, Malaysia cukup berupaya untuk melakukan pembaharuan kritikal. Komunikasi jelas dan pelaksanaan tegas akan membantu mengurangkan risiko pembalikan dasar, dan akan membantu peralihan kepada ekonomi berpendapatan tinggi.
Sekiranya sejarah boleh dijadikan panduan, kekuatan semasa ekonomi negara adalah hasil daripada pembaharuan berani yang diambil pada waktu paling kritikal. Malaysia perlu merebut peluang ini sekarang untuk meletakkannya di landasan pertumbuhan ekonomi lebih produktif dan canggih untuk generasi masa hadapan.
Comments
Post a Comment