HAZANI bersama Azhar bertanya sesuatu kepada pemandu kenderaan yang melalui RCP Sapi Nangoh.
SANDAKAN: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) telah mengesan wujudnya laluan tikus oleh pihak yang tidak bertanggungjawab selepas pengumuman pembukaan pusat pemeriksaan daratan atau Road Check Point (RCP) Sapi Nangoh.
Komander Esscom Dato’ Hazani Ghazali berkata pihaknya melalui Pegawai Pemerintah Batalion 20 Pasukan Gerakan Am (PGA) telah menggerakkan unit risikan bagi mengesan laluan tikus yang diwujudkan.
“Kita telah mengenal pasti laluan-laluan tikus itu, mereka menggunakan ladang sawit dan setakat ini jumlah laluan yang dikesan tidak boleh kita dedahkan,” katanya.
Beliau menggesa pihak ladang agar tidak membenarkan laluan-laluan tikus diwujudkan di kawasan ladang mereka.
“Saya akan buat surat secara rasmi dan tindakan akan diambil secara tegas terhadap pihak ladang yang didapati berbuat demikian,” katanya selepas melancarkan Program Community Policing 'Mencegah Jenayah Bersama Esscom' di RCP Sapi Nangoh, hari ini.
Hazani telah mengumumkan pembukaan RCP Sapi Nangoh pada Ogos tahun lepas dan Esscom telah mendapati wujudnya laluan tikus di kawasan berkenaan.
Beliau berkata pihaknya sudah ada pengalaman selepas wujudnya RCP Kalabakan pada Mac tahun lepas di mana terdapat laluan tikus diwujudkan dan dikesan dari Kg Murut, Kalabakan tembus dari Tingkayu keluar di Tongod.
Dalam usaha menyekat penggunaan laluan tikus, Hazani berkata pihaknya juga akan meletakkan dua kenderaan All Terrain Vehicles (ATV) bagi membuat rondaan dan pengesan terhadap mereka yang menggunakan laluan tikus.
“Kita juga mencadangkan untuk meletakkan dua ekor anjing dari Unit Anjing Pengesan (K9) di RCP Sapi Nangoh. Sebelum ini, kita telah meletakkan K9 di RCP Kalabakan sejak bulan Feb lepas,” katanya.
Beliau berkata tujuan meletakkan K9 adalah usaha membendung penyeludupan dadah dan bahan letupan.
Dalam pada itu, Hazani berkata RCP di Beluran yang terletak di kawasan Sapi Nangoh akan beroperasi selama 24 jam menggunakan laluan utama pantai timur ke pantai barat bagi menyekat kemasukan elemen jenayah, termasuk penyeludupan barang dan pendatang tanpa izin di daratan, termasuk yang melalui laluan tikus.
“Kita meletakkan satu pegawai dan 32 anggota dari Batalion 20 PGA Beluran di RCP Sapi Nangoh,” katanya.
Beliau memberitahu selepas pembukaan RCP Sapi Nangoh sejak 6 Mac lepas, pihaknya telah memeriksa lapan bas dengan menahan 297 orang.
Turut hadir, Ketua Polis Daerah Sandakan Asisten Komisioner (ACP) Mohd Azhar Hamin, Pegawai Pemerintah Batalion 20 PGA Beluran ACP Ratan Kumar Singh, Ketua Polis Daerah Beluran Superintendan Sivananthan A/L R Velauthan serta pegawai kanan Esscom dan polis.
Comments
Post a Comment