AS jual 12 dron pengawasan kepada Malaysia pantau aktiviti China



Dron jenis ScanEagle, buatan Boeing Co kepada kerajaan Malaysia, Indonesia, Filipina dan Vietnam bernilai AS$47 juta (RM196.32 juta).

WASHINGTON: Pentadbiran Trump maju setapak lagi dengan penjualan dron pengawasan kepada empat sekutu Amerika Syarikat (AS) di rantau Laut China Selatan apabila Setiausaha Pertahanan Patrick Shanahan berkata Washington tidak akan lagi mengabaikan kelakuan China di Asia.
Dron itu akan meningkatkan lagi keupayaan pengumpulan perisikan yang berpotensi membendung aktiviti China di rantau itu.
Shanahan tidak menyebut nama China secara langsung apabila membuat tuduhan terdapatnya "pelakon-pelakon" yang menjejaskan kawasan itu, dalam ucapannya di Dialog Shangri-La di Singapura Sabtu lalu, tetapi berkata AS tidak akan mengabaikan tingkah laku Cina.
Pentagon Jumaat lalu mengumumkan ia akan menjual 34 dron jenis ScanEagle, buatan Boeing Co kepada kerajaan Malaysia, Indonesia, Filipina dan Vietnam bernilai AS$47 juta (RM196.32 juta).
China menuntut hampir keseluruhan kawasan strategik di Laut China Selatan dan sering menghentam AS dan sekutunya berhubung operasi ketenteraan yang dijalankan berhampiran pulau-pulau yang diduduki China itu.
Brunei, Indonesia, Malaysia, Filipina, Taiwan dan Vietnam mempunyai tuntutan yang bersaing ke atas pulau-pulau itu.
Pentagon berkata, jualan termasuk alat ganti, kelengkapan sokongan, peralatan, latihan dan perkhidmatan teknikal serta kerja-kerja ke atas peralatan itu yang dijangka selesai pada Mac 2022.
Sebanyak 12 dron tidak dilengkapi senjata dan peralatan akan dijual kepada Malaysia membabitkan pertimbangan tunai sekitar AS$19 juta (RM79.36 juta).
Indonesia, negara majoriti Muslim terbesar di dunia, akan membeli lapan pesawat, lapan oleh Filipina, dan Vietnam enam.
Pada 2018, pentadbiran Trump melancarkan rombakan dasar eksport senjata AS yang bertujuan memperluaskan jualan kepada sekutunya, dengan mengatakan ia akan meningkatkan industri pertahanan Amerika dan mewujudkan pekerjaan di negara itu.
Inisiatif itu melonggarkan peraturan untuk mengeksport beberapa jenis dron dilengkapi dan tidak dilengkapi senjata pemusnah buatan AS kepada sekutu dan rakan berpotensi.
ScanEagle tidak dibangunkan dalam versi dilengkapi senjata, tetapi Insitu, bahagian di Boeing yang mengeluarkan dron itu, turut mengeluarkan Blackjack RQ-21A, dron dilengkapi senjata digunakan Angkatan Laut dan Kor Marin AS. - Reuters

Comments