
Seorang usahawan dengan gelaran Datuk Seri, yang dirakamkan bertengkar dengan seorang pemilik restoran mendakwa bahawa pihak polis melarang peguamnya hadir ketika dia dipanggil untuk disoalsiasat buat kali kedua.
Seow Kah Foong, berkata polis mengarahkannya sekali lagi membantu siasatan, dua hari selepas kejadian di sebuah kondominium di Kuala Lumpur pada 27 Mei lalu.
"Saya bawa peguam tetapi dia dilarang masuk. Apabila dia disuruh tunggu di luar, saya tahu saya dalam bahaya.
"Kenapa peguam tak boleh iringi saya ketika saya beri kenyataan?
"Saya bukan belajar tinggi. Jika kamu (polis menulis kenyataan itu) dan saya tandatangani (tanpa mengetahui butir-butirnya), sbukannkah saya akan berdepan masalah," katanya pada sidang akhbar di Subang hari ini.
Bagaimanapun, Seow, 49, berkata kenyataan kali keduanya tidak dirakamkan kerana polis sibuk untuk berbuka puasa pada malam itu.

Usahawan itu juga mengadu bahawa apabila polis merakamkan kenyataannya selepas pergaduhan berkenaan, dia ditempatkan bersama dengan pemilik restoran Lau Chan Ming, 53 dan "sekutu" lelaki itu.
Menurut Seow, ini membuat dirinya risau terhadap keselamatannya.
"Apabila saya disuruh masuk dalam bilik, Lau dan yang lain sudah berada di sana. Saya terperanjat.
“Jadi saya minta pengawal peribadi saya masuk juga sebab dia fasih berbahasa Malaysia," katanya.
Usahawan itu juga mendakwa bahawa dia melihat sekutu Lau bebas kelura masuk di balai polis itu walaupun mereka tidak ada hubungan dengan kejadian itu.
"Lelaki ini nampak macam rapat dengan polis. Dia seperti seorang diplomat," katanya.
Memandangkan itu, untuk bersikap adil kepadanya, Seow menuntut supaya seorang pegawai penyiasat baru ditugaskan bagi mengendalikan kes berkenaan.

Ketika dihubungi kemudian, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Rajab Ahad Ismail berkata, Pejabat Timbalan Pendakwa Raya telah memberi kelulusan untuk mendakwa Seow.
Berhubung dakwaan usahawan itu yang mendakwa peguamnya tidak dibenarkan masuk, pegawai polis itu menjawab: "Bukannya kita tidak benarkan dia masuk. Jika dia masuk, kita perlu rakamkan kenyataannya juga."
Bagaimanapun, Rajab tidak mengulas lanjut.
Lau pada awalnya menuduh Seow dan pengawal peribadinya menyerang mereka. Tetapi usahawan itu mendakwa bahawa dia menumbuk lelaki berkenaan dalam usaha mempertahankan dirinya.
Comments
Post a Comment