
KETUA Pegawai Eksekutif KWAP, Datuk Nor Azian Mohd Noh saksi perbicaraan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, berhubung pertuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan salah guna kuasa membabitkan dana SRC International di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. NSTP/Hafiz Sohaimi
KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) pertama Kumpulan Wang Diperbadankan (KWAP) mengakui pinjaman sebanyak RM4 bilion oleh SRC International Sdn Bhd adalah jumlah terbesar pernah dipersetujui agensi dana persaraan itu.
Datuk Azian Mohd Noh yang kini Ahli Lembaga Pengarah Danajamin Nasional Berhad, berkata KWAP meluluskan pinjaman pertama RM2 bilion kepada SRC pada tahun 2011 dan pinjaman kedua juga berjumlah RM2 bilion pada tahun 2012.
Azian selaku saksi ke-38 pendakwaan adalah CEO pertama KWAP yang dilantik pada Mac 20017 sehingga Mac 2013 dan turut dilantik sebagai Ahli Ex-Officio kepada Lembaga Pengarah KWAP.
Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Ishak Mohd Yusoff pada sesi pemeriksaan utama, Azian berkata, surat Kementerian Kewangan Malaysia bertarikh 28 Mac 2012 bagi pinjaman tambahan RM2 bilion kepada SRC berhubung persetujuan kerajaan menjamin pinjaman itu, tidak pernah berlaku sebelum itu.
Saksi itu berkata, jaminan itu bagi pembayaran balik untuk tempoh 10 tahun selaras dengan kelulusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 8 Februari 2012.
Beliau berkata, surat terbabit memohon KWAP untuk mempertimbangkan pengeluaran wang pinjaman dapat dilakukan terlebih dahulu, dan Kementerian Kewangan memberikan aku janji menyerahkan surat jaminan kerajaan selewat-lewatnya dalam tempoh 10 hari.
Ishak: Pernah tidak wang keluar dahulu sebelum dapat surat jaminan?
Saksi: Tidak pernah berlaku dalam situasi ini.
Azian yang membacakan pernyataan saksi, berkata bagi pinjaman tambahan RM2 bilion itu, Jabatan Pendapatan Tetap KWAP menyediakan Surat Pekeliling Panel Pelaburan bagi kelulusan panel untuk mengubah cara pembayaran iaitu daripada jadual pengeluaran kepada pengeluaran sekali sahaja.
Beliau berkata, Pekeliling Panel Pelaburan diedarkan kepada semua ahli panel untuk mempertimbangkan permohonan SRC bagi pengeluaran pinjaman secara sekali gus.
“Saya kemudian dimaklumkan bahawa ahli Panel Pelaburan sebulat suara meluluskan pengeluaran dibuat secara sekali gus.
“Saya juga mengesahkan surat tawaran bagi kemudahan pinjaman tambahan KWAP berjumlah RM2 bilion kepada SRC adalah bagi membiayai aktiviti pelaburan am dan modal pusingan SRC.
“Saya juga mengesahkan Letter of Guarantee Relating To The Financing Facility of RM2 bilion Granted to SRC International Sdn Bhd bertarikh 27 Mac 2012, iaitu surat jaminan Kerajaan Malaysia ke atas pembiayaan pinjaman KWAP kepada SRC berjumlah RM2 bilion bagi tempoh sepuluh tahun.
“Surat jaminan itu ditandatangani oleh Datuk Seri Najib Razak selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan,” katanya.
Sementara itu, Azian berkata, Kementerian Kewangan mengeluarkan surat bertarikh 18 Mei 2012 untuk membuat pindaan terhadap tujuan wang pinjaman yang diberikan kepada SRC.
Beliau berkata, surat itu menyatakan pinjaman terbabit adalah untuk membiayai aktiviti pelaburan dalam sumber asli dan modal pusingan sahaja dan bukan untuk aktiviti pelaburan am.
Katanya, surat berkenaan adalah berdasarkan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 8 Februari 2012.
“Wang pinjaman ini hanya boleh digunakan untuk tujuan aktiviti pelaburan dalam sumber asli dan modal pusingan sahaja.
“Jika digunakan untuk tujuan lain, ia akan melanggar terma perjanjian dan boleh menyebabkan Event of Default (keingkaran) dalam perjanjian pinjaman.
“Jika ini berlaku dan diketahui KWAP, KWAP boleh menamatkan perjanjian pinjaman dan membuat tuntutan bayaran balik segala baki pinjaman pokok bercampur faedah yang dikenakan daripada penimbang,” katanya.
Comments
Post a Comment