Bersatu beri isyarat sedia bertempur


KETIKA hampir semua perdebatan politik tanah air sejak seminggu lalu terarah kepada skandal video seks sejenis yang dikaitkan dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, ada satu lagi ‘ribut’ politik yang seandainya tersilap percaturan bakal bertukar menjadi ‘taufan’ pada bila-bila masa.

‘Ribut’ itu sudah membadai dan kelmarin mesej yang disampaikan melalui Bendahari Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) Selangor, Mohd. Shaid Rosli (Bersatu) cukup jelas apabila buat pertama kalinya batang tubuh Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail mula ‘disentuh’ sejak Pakatan Harapan (PH) memerintah Mei tahun lalu.

Mesej politiknya cuma satu dan kepada siapa ‘amaran’ tersebut dituju adalah tidak lain tidak bukan, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Bersatu melalui Mohd. Shaid ingin memberitahu Anwar bahawa jika beliau tidak mengawal keghairahan sendiri serta tingkah laku para penyokongnya, Bersatu bersedia untuk bertempur.

Sekalipun, yang menjadi tukang penyampai mesej hanyalah Bendahari di peringkat negeri tetapi perlu dilihat siapa di belakang Mohd. Shaid kerana sehingga kini, tiada mana-mana pemimpin Bersatu yang tampil menidakkan kenyatan itu. Hal yang sama juga berlaku kepada PKR kerana watak seperti Datuk Johari Abdul, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid dan Otai Reformis cuma ‘tukang pukul’.

Sesiapa sahaja yang membaca politik tahu tangan ghaib siapa yang merestui tekanan berterusan ke atas Tun Dr. Mahathir Mohamad agar mengumumkan segera tarikh peralihan kuasa Perdana Menteri. Jika tidak, masakan isu skandal video seks sejenis mirip Mohamed Azmin pun turut diheret Otai Reformis ke arah desakan peralihan kuasa.

Apa sekalipun, kedua-dua parti iaitu Bersatu dan PKR harus segera menghentikan ‘ribut’ politik ini kerana rakyat memilih PH bukan untuk disajikan dengan satu lagi episod perbalahan politik tidak berkesudahan. PH diberi mandat kerana rakyat mahukan perubahan dengan keutamaan adalah kepada soal ekonomi dan sara hidup.

Malah, PKR sendiri terutamanya ketika ini harus memberikan fokus dan perhatian sepenuhnya bagi menyelesaikan kemelut dalaman parti itu, yang sudah menjadi berpatah arang berkerat rotan di antara dua kem, selepas tersebarnya video seks sejenis tersebut dan bukannya melihat kepada jawatan Perdana Menteri semata-mata.

Anwar juga sebagai Presiden PKR dan orang berpengalaman dalam politik tentu sekali sedar bahawa impiannya untuk menjadi Perdana Menteri pastinya berliku, jika PKR bertelagah dengan Bersatu dan pada masa yang sama, keadaan dalam parti sendiri pula berpecah. Moga episod politik dua dekad lalu tidak berulang. -UTUSAN ONLINE

Comments