
SEGAMAT: Seorang peraih getah kerugian RM2,600 selepas disamun dua lelaki dalam kejadian di sebuah stor getah di Pogoh, di sini pagi semalam.
Dalam kejadian jam 11.27 pagi itu, mangsa didatangi dua lelaki yang berpura-pura mahu menjual getah sebelum bertindak menyamunnya.
Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Raub Selamat, berkata kedua-dua suspek lelaki tempatan berusia 21 dan 34 tahun itu berjaya ditahan di Jementah, kira-kira jam 9.30 malam semalam.
“Ketika kejadian 11.27 pagi semalam, kedua-dua suspek datang ke stor itu dengan menaiki motosikal curi dan berpura-pura mahu menjual getah kepada peraih getah berusia 31 tahun itu.
“Suspek kemudian merampas parang milik mangsa yang juga pengadu yang diletakkan di atas meja dan mengacukan kepadanya serta merampas dua beg pinggang mengandungi wang tunai RM2,600,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.
Beliau berkata, kedua-dua suspek kemudian melarikan diri dengan meninggalkan motosikal curi itu di lokasi kejadian.
Raun berkata, polis kemudian menahan sebuah kereta jenis Proton Saga Iswara dinaiki kedua-dua suspek dan merampas sembilan barangan termasuk wang tunai RM833, empat telefon bimbit, dua gunting yang diubah suai, pisau, parang dan pemotong besi.
“Hasil siasatan mendapati kedua-dua suspek memiliki beberapa rekod jenayah lampau berkaitan dadah, samun dan pecah rumah.
“Mereka mengaku terbabit dalam kejadian itu bersama dua lagi suspek yang masih bebas. Kedua-duanya kini direman selama empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan, manakala usaha mengesan dua lagi suspek yang masih bebas sedang dijalankan,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan. - BERNAMA
Comments
Post a Comment