
WASHINGTON: Beberapa orang tercedera akibat bersesak-sesak ketika menyertai satu perarakan gay di sini semalam selepas mendakwa terdengar bunyi tembakan senjata api, kata pihak berkuasa.
Polis kemudian menahan seorang lelaki sebaik menemui senjata api berhampiran dengannya.
“Ketika pegawai kami sedang menuju ke arah lokasi, sekumpulan peserta berlari ke arah bertentangan,” kata Komander Polis Washington, Guillermo Rivera kepada wartawan.
“Sebahagian individu yang menyertai perhimpunan itu berkata ada seorang lelaki bersenjata yang melepaskan tembakan.”
Namun, polis tidak menemui sebarang bukti tembakan dilepaskan, kata Rivera.
Seramai tujuh orang dibawa ke hospital untuk rawatan akibat kecederaan dan sebahagian lagi dirawat di lokasi kejadian.
Timbalan Datuk Bandar Washington, Kevin Donahue berkata di Twitter, orang ramai di bandar Dupont Circle cedera akibat panik ketika melarikan diri dari bunyi yang disangkakan senjata api.
Polis masih menyiasat rakaman video bagi memastikan punca sebenar yang menyebabkan bunyi itu, kata Rivera lagi.
Perarakan gay disambut di seluruh dunia setiap Jun dengan sebahagiannya diraikan pada atau sekitar 28 Jun sebagai memperingati ulang tahun serbuan polis ke atas kelab gay Stonewall Inn di New York pada 1969. - Reuters
Comments
Post a Comment