
KOTA KINABALU: Seramai 24 individu ditahan polis dipercayai terlibat dengan penyalahgunaan dadah dalam operasi di beberapa lokasi sekitar daerah ini bermula 1 hingga 7 Jun lepas.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, antara lokasi tumpuan termasuklah Kampung Cenderawasih Likas, Kampung Air, Sembulan Lama, dan Kampung Tanjung Aru.
Menurutnya, lima tangkapan membabitkan kesalahan memiliki dadah, dua tangkapan di bawah langkah pencegahan khas dan 17 orang lagi atas kesalahan urin (penagih).
"Kesemua tangkapan disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 melibatkan Seksyen 3(1), Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(A).
"Suspek yang ditahan melibatkan 16 warga tempatan dan lapan lagi warga asing berumur dalam lingkungan 18 hingga 59 tahun.
"Dalam tempoh berkenaan, sebanyak 0.87 gram dadah jenis syabu berjaya dirampas dengan anggaran nilai berjumlah RM130.50 mengikut harga dadah semasa,"katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Kota Kinabalu turut menjalankan Ops Sarang Khas pada 1 Jun 2019 dan menahan sembilan individu di bawah Seksyen 15(1)(A) ADB 1952.
Comments
Post a Comment